"Individu yang bertanggungjawab membakar bendera Malaysia, Jalur Gemilang sedang dicari bagi memastikan sama ada dia merupakan salah seorang penyokong PAS, orang awam, polis berpakaian preman atau antara pencetus provokasi yang mengundang suasana tidak senang rakyat atas tindakannya itu.
Kejadian bakar bendera ini telah dieksploit sepenuhnya oleh pihak pimpinan Umno/BN bagi menuduh parti pembangkang tidak bertanggungjawab sedangkan individu terbabit belum dikenal pasti identitinya.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Trengganu, Dato' Abu Bakar Chik juga turut membangkitkan isu tersebut di dalam mesyuarat penyelarasan media bersama beberapa pimpinan, wakil media Harakah dan Siasah termasuk Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman berhubung kejadian di Batu Buruk 8 September lalu.
Menurut wakil dan pimpinan yang hadir dalam mesyuarat tersebut, pelbagai versi cerita dikumpulkan untuk mengesahkan kejadian sebenar dan secara am, semua berpendapat bahawa ahli-ahli dan pendokong PAS lazimnya tidak bertindak melampau dan membelakangkan batas-batas agama serta tatasusila negara.
Malah ada yang menimbulkan persoalan ketika mana individu tersebut sedang membakar bendera Malaysia, beliau sama sekali tidak dihalang oleh orang ramai mahupun tidak ditangkap oleh polis dan tidak kelihatan ada orang yang mengerumuni individu terbabit sewaktu kejadian itu.
Difahamkan hampir 500 anggota polis termasuk FRU bertugas di kawasan sekitar Batu Buruk sewaktu insiden tembakan dan tindakan kasar terhadap orang ramai yang hadir pada malam itu.
Di dalam gambar itu juga menunjukkan kawasan tempat individu itu membakar bendera kelihatan agak lenggang dan tidak diketahui waktu tindakan provokasi itu dilakukan.
Di samping itu,adalah sesuatu yang tidak adil bagi pemimpin Umno menuduh bahawa pihak pembangkang yang membakar bendera itu sedang indivdu terbabit tidak dikenali malah sukar kerana memakai topi keledar yang menutup sebahagian wajahnya.
Sehingga kini, rata-rata saksi yang ditemui yang menyaksikan insiden kekasaran polis pada malam itu, memaklumkan tidak mengetahui tentang kejadian bakar bendera itu namun usaha mencari individu terbabit masih diteruskan.
Antara yang dibincangkan dalam mesyuarat terbabit ialah tentang ketepatan fakta dan kronologi kejadian serta mengenal pasti punca sebenar sehingga tercetusnya insiden yang tidak diingini disamping mahu menyampaikan maklumat dan berita sebenar kepada rakyat di negara ini khususnya Trengganu."
0 comments:
Post a Comment