Semua dapat buku teks:Syarat kemudahan SPBT tidak lagi ambil kira pendapatan ibu bapa pelajar

KEPALA BATAS: Semua pelajar akan mendapat kemudahan skim pinjaman buku teks (SPBT) tanpa mengira pendapatan keluarga masing-masing, selewat-lewatnya dalam tempoh dua tahun lagi.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata usaha itu bertujuan memastikan pelajar menikmati semua kemudahan pendidikan yang lengkap dan sempurna tanpa sebarang alasan.

"Sekarang 90 peratus sudah mendapat kemudahan itu dan apa salahnya jika kita perluaskan kepada semua pelajar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Gemilang 2020 anjuran Pemuda Umno Bahagian Kepala Batas di sini, semalam. Pada majlis itu, 84 murid yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2005 menerima sumbangan RM100 seorang daripada pergerakan itu. Turut hadir, Ketua Pemuda Umno Bahagian Kepala Batas, Ahmad Darus.

Pada masa ini, kemudahan SPBT terhad kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan RM2,000 ke bawah. Bagaimanapun, dalam Bajet tahun lalu, kerajaan mengumumkan kemudahan itu turut diberi kepada anak guru.

Hishammuddin yang juga Ketua Pemuda Umno berkata, kementerian sedang berusaha mendapatkan peruntukan bagi membolehkan semua pelajar menikmati kemudahan berkenaan, yang dijangka dapat dilaksanakan dua tahun lagi.

Beliau yang enggan mengulas mengenai jumlah peruntukan yang diperlukan, berkata kementerian akan mencari kaedah terbaik bagi memastikan pinjaman buku teks itu digunakan pelajar sebaik mungkin.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, semua projek pembinaan sekolah dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) tidak akan menggunakan pendekatan 'reka dan bina' yang dilaksanakan perunding dan kontraktor sebelum ini.

Beliau berkata, tindakan itu bagi memastikan semua projek pembinaan sekolah diselaraskan Bahagian Pembangunan dan Perolehan kementerian serta Jabatan Kerja Raya untuk mengelak masalah mendapatkan Sijil Layak Menduduki (CF).

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu Sekolah Kebangsaan Mutiara Perdana, Sungai Nibong, Pulau Pinang, yang dilaporkan tidak memiliki CF walaupun sudah beroperasi sejak empat tahun lalu.

Hishammuddin berkata, kelewatan mendapatkan CF itu berpunca daripada masalah tanah yang belum ditukarkan statusnya daripada tanah perindustrian kepada yang berstatus institusi pendidikan.

“Kelewatan itu tiada kaitan dengan masalah teknikal bangunan berkenaan dan ibu bapa tidak perlu bimbang dengan keselamatan anak-anak mereka,” katanya sambil memberi jamin kementerian akan membantu menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.

Pada majlis perasmian Kempen Satu Rumah Satu Sudut Bacaan di Sekolah Kebangsaan Padang Menora, Tasek Gelugor pula, Hishammuddin menyampaikan bahan bacaan kepada wakil enam kampung di sekitar Padang Menora.
~pasang tv tgk otromen, lps baca harap komen~

0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin

Sekarang terdapat orang dalam talian...time kasih kerana melayari!! hits

Usia Blog Ummie eriey...

Daisypath Friendship tickers